Tumbuk Lada


Tumbuk Lada berasal dari Sumatera yang juga dikenali sebagai Tumbuk Lading. Ianya dipakai sebagai senjata adat istiadat bagi ketua-ketua bawahan bagi Negiri Sembilan dan Minangkabau. Keris pula hanya dikhaskan untuk kerabat diraja dan golongan bangsawan.

Mengapa dipanggil Tumbuk Lada? Pada tahun 1936, seorang tukang kebun menyatakan ianya dikenali begitu kerana hulunya berbentuk alu lesung batu bagi menumbuk lada/cabai. Yang lainnya percaya bahawa kesan tikaman yang membawa kesakian yang amat sangat seperti pedasnya cabai. Penjelasan yang lainnya tidak begitu realistik. Menurut Tuan Haji Sultan Menan dari Kg Baru, Kuala Lumpur, Tumbuk Lada biasanya digunakan untuk menumbuk atau menikam pada dada mangsa. Pada awalnya dikenali sebagai tumbuk dada, yang mana akhirnya dikenali sebagai Tumbuk Lada.

Tumbuk Lada mudah dikenali melalui hulu, mata dan sarungnya yang mana mempunyai bentuk yang berbeza dari senjata lain . Matanya nipis dan melengkung dimana ketajaman hanya pada sebelah saja dan sebelah lagi rata, yang dikenali sebagai sebelah baung. Matanya juga lebar pada mula dan menirus dihujungnya.

Kepanjangan tumbuk lada diantara 8 1/2 ke 11 inci. Matanya nipis dan berat boleh juga digunakan untuk memotong. Bagaimanapun tumbuk lada direkabentuk semata-mata sebagai senjata menikam.

Hulunya sama ada dibuat dari kayu atau tanduk kerbau dan lembu. Masa sekarang hulunya berbentuk bujur telur dan diukir dengan cantik. Bagi Tumbuk Lada yang berkualiti dibuat berhulukan saduran perak dan berukiran awan timbul dan dawai pintal. Hujung hulu dihiaskan dengan logam berharga. Hulu dari tanduk tidak semestinya bersadur perak tetapi diukir dengan corak yang rumit dan cantik.

Sarungnya pula diperbuat dari kayu yang terdiri dari 3 bahagian. Sarung yang diperbuat dari tanduk ( bahagian atas) dan kayu (bahagian tengah dan hujung). Bahagian kayu adalah saduran perak dan diukur dengan bunga awan timbul. Gelang-gelang perak pula ditempatkan di antara bahagian saduran perak. Bahagian atas atau bahagian tanduk juga diukir dengan rekabentuk rendang.

0 comments:

Post a Comment

Logo KPGRS

Logo KPGRS

Followers